Wednesday, February 27, 2019

Terlalu Sunyi

[Sumber: pautan]


Kononnya nak belajar di perpustakaan, sebab tak bising dan aman. Bolehlah saya ulangkaji dengan penuh khusyuk.

Saya pergi ke aras 5 Perpustakaan UKM dan masuk ke Ruang Senyap Bestari.

Selangkah saya masuk ke bilik tu, derapan kasut saya menjadi perhatian.

Bergema bunyinya setiap kali saya berjalan. Terjengket-jengket kaki saya mencari meja yang paling dekat.

Selesai satu langkah, saya pandang ke pelajar-pelajar yang fokus belajar. Selangkah lagi kaki kiri saya memijak lantai, saya pandang balik ke arah mereka, yang tekun merenung buku.

Bila dah sampai ke meja, saya menghela nafas lega, tapi secara perlahan-lahan, kerana setiap hembusan boleh didengari oleh pengguna-pengguna yang sedang tekun menaip sesuatu di komputer.

Saya buka zip beg, tapi bila saya tarik, ia menghasilkan bunyi 'zappp' hingga menyebabkan fokus orang lain terganggu. Saya buka nota kuliah, helaian demi helaian saya selak, tapi saya perlu buka dengan perlahan-perlahan, kerana setiap selakan itu, membingitkan orang di sebelah.

Kerusi, saya alihkan dengan berhati-hati, sebab takut ia terseret dengan lantai, dan menghasilkan bunyi ngilu yang membingitkan.

Blah blah blah.

Akhirnya, sebab dah tak tahan dengan kesunyian yang teramat sunyi di Ruang Senyap Bestari, saya keluar terus.

Sekian.

Wednesday, February 6, 2019

Kimia dan STEM di Malaysia

Sumber gambar: [pautan]



Minat terhadap sains mungkin berputik semenjak dari kanak-kanak lagi. Saya sukakan subjek sains sehingga selalu dapat markah tertinggi di peringkat sekolah rendah dan peringkat menengah rendah. Tetapi, setelah menginjak ke tingkatan 4, saya tidak nampak lagi subjek ‘sains’. Yang saya nampak ialah kimia, fizik dan biologi. Apa benda itu saya pun tidak tahu. Mungkin saya lebih suka belajar sains secara umum berbanding perlu mendalami secara spesifik.

            Sejak masuk ke dalam kelas aliran sains, saya sudah tidak begitu minat terhadap teori sains. Saya masih ingat lagi saya paling benci subjek fizik dan kimia, tetapi saya lebih gemarkan subjek biologi kerana hanya perlu menghafal fakta. Ya, saya jenis yang suka menghafal berbanding mencerap secara analitikal, berbanding perlu menghadap segala jenis rumus fizik yang pelik-pelik atau persamaan-persamaan kimia yang seperti bahasa makhluk asing.

            Mungkin saya ‘terpaksa’ dalam belajar subjek-subjek sains ini. Namun lama-kelamaan saya mengubah niat saya belajar. Menuntut ilmu memang suatu proses yang menyukarkan. Itulah resepi dalam menggapai kejayaan. Berkat kesabaran dan kesungguhan yang tersisa, saya berjaya memupuk kembali minat terhadap subjek sains seperti kimia dan biologi. Sehinggalah saya memasuki peringkat matrikulasi, saya semakin gemar dengan subjek-subjek sains ini, khususnya kimia. Entahlah, tapi saya rasa kimia sangat senang. Konsepnya mudah, rumusnya nampak. Saya nekad untuk menyambung dalam bidang kimia. Alhamdulillah, saya diterima masuk ke UKM untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan Kepujian.

Kenapa saya teruskan dengan kimia?

            Agak sukar sebenarnya saya menjawab persoalan ini. Mulanya saya fikir kimia ini ialah suatu cabang ilmu yang senang. Ya, memang senang jika rajin buat soalan past year dan dapat skor dengan gred yang cemerlang. Tapi bila sudah masuk ke peringkat universiti, kimia ini begitu luas disiplinnya.
            
Kimia tidak akan lari dari konsep kimia fizik yang menerangkan perlakuan dan dinamik molekul dari sekecil-kecil zarah sehingga ke makromolekul. Selain itu, seorang saintis kimia juga perlu melengkapkan diri dengan daya analitikal yang tinggi, oleh itu ilmu analisis kimia juga sangat penting dalam pencerapan nilai-nilai yang memberi makna kepada saintis. Saya juga tidak dapat lari dari kimia organik. Ia bukanlah mengenai epal organik atau khasiat susu organik, tetapi ia adalah kajian mengenai hidrokarbon, iaitu sebatian yang mempunyai karbon dan hidrogen yang membentuk sesuatu unit sebatian organik yang kompleks.

            Kimia tak organik pula lebih kepada kajian sebatian kompleks, iaitu ion logam yang selalunya terdiri dari unsur-unsur peralihan dalam jadual berkala, dengan sambungan elektron yang didermakan dari molekul yang dikenali sebagai ligan. Ada lagi satu bidang kimia yang agak baru, tetapi sangat memberi signifikan dan kemaslahatan kepada kehidupan kita, iaitu kimia polimer. Sintesis daripada polimer inilah yang menghasilkan bahan-bahan yang memenuhi kelengkapan kehidupan kita, dari peralatan rumah sehinggalah ke industri automobil dan aeroangkasa.

            Jadi, mengapa saya tegar meletakkan diri untuk menerukan bidang kimia? Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, saya tiada jawapan yang sangat spesifik. Kerana ilmu-ilmu kimia ini membuatkan saya rasa takjub dengan ilmu alam. Tidak semua yang diberi peluang untuk mendalami ilmu sains ini, maka saya yang telah dipilih oleh Tuhan berasa bersyukur dan saya berazam untuk mendalami dengan lebih terperinci lagi ilmu ini. Mungkin sekiranya saya tidak berjaya menjadi seorang saintis kimia yang berjaya pun, sekurang-kurangnya saya masih boleh memberi kefahaman kepada bakal anak-anak didik saya terhadap ilmu kimia. Siapa tahu, mereka yang bakal saya ajar akan lebih berjaya dari saya dalam meneruskan legasi memakmurkan alam?

Inspirasi dan Motivasi

            Dahulu saya pernah berniat untuk beralih bidang dari sains kepada aliran sastera. Ramai yang mengatakan bahawa saya lebih cenderung kepada bidang sastera dan kemanusiaan. Namun, ibu saya pernah berpesan kepada saya, “Abang sambunglah dalam bidang sains. Gunakan kelebihan sastera yang abang ada untuk kemajuan sains.”

            Saya tidak nampak kaitan antara sastera dan sains, sehinggalah apabila masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia, satu-satunya universiti di Malaysia yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu, baru saya sedar betapa peranan sastera sangat mempengaruhi perkembangan sains. Sastera di sini tidaklah bermaksud ayat yang berbunga-bunga, tetapi lebih kepada linguistik sesuatu bahasa perantaraan. Umum diketahui bahawa subjek-subjek sains lebih kepada penggunaan bahasa Inggeris. Tidak semua dari anak-anak bumiputra kita faham dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi untuk memahami sesuatu konsep sains. Namun, dengan penggunaan bahasa Melayu, sesuatu teori sains itu dapat difahami dan dihayati dengan sepenuh jiwa. Tiada masalah untuk mempelajari sesuatu bidang dengan bahasa Inggeris, tetapi apabila menggunakan bahasa ibunda sendiri, ia lebih bersifat semula jadi dan merupakan suatu manifestasi apresiasi terhadap warisan dan budaya kita, lebih-lebih lagi dalam menempuh era globalisasi yang boleh memudarkan tradisi jati diri.

            Antara motivasi lain yang membuatkan saya begitu bersemangat meneruskan perjuangan dalam bidang ini ialah kesungguhan pensyarah-pensyarah saya dalam mencurahkan ilmu kepada saya. Lebih-lebih lagi kepada pensyarah-pensyarah saya yang masih muda, tetapi sudah bergelar Dr. dalam pendidikan. Sekiranya dibandingkan dengan program-program sains yang lain, program Kimia sahaja yang kebanyakan pensyarahnya adalah muda-muda belaka dan ramai yang berjaya menerbitkan kajian sains yang berkualiti dan berimpak tinggi. Ini memberi interpretasi kepada saya bahawa untuk berjaya itu tidak mustahil. Yang penting perlu diselang-selikan dengan usaha yang padu serta doa yang berterusan.

Pandangan dan harapan terhadap bidang penyelidikan yang sedang ditekuni

            Saya merasakan ilmu kimia adalah ilmu yang perlu diterapkan kepada semua masyarakat agar kesedaran terhadap kimia dapat ditingkatkan. Tidaklah sampai perlu menghafal formula kimia yang kompleks atau menjangkakan hasil produk, tetapi memadai dengan konsep-konsep mudah yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri dan keluarga. Contoh yang paling mudah ialah penggunaan polisterina dalam kehidupan seharian. Oleh sebab produk polisterina adalah tidak terbiodegradasi, iaitu tidak mampu terurai secara alami, maka penggunaan polistera dengan kekerapan yang tinggi akan meninggalkan longgokan dan merosakkan alam sekitar. Sekiranya dibakar pula, ia akan menghasilkan gas beracun yang memberi impak negatif kepada kita dan alam sekitar. Maka sekiranya masyarakat dapat memahami mengenai sifat polimer polisterina ini, mungkin satu inisiatif secara kecil-kecilan seperti menggantikan produk polisterina dengan bekas makanan bukan pakai buang atau produk terbiodegradasi dapat diimplementasikan.

            Untuk diri saya pula, sekiranya diberikan peluang untuk melanjutkan penyelidikan dalam kimia, saya berhasrat untuk mendalami hasilan semula jadi, iaitu salah satu cabang dari kimia bio-organik. Saya yakin ramuan-ramuan yang digunakan oleh masyarakat terdahulu mempunyai seribu satu khasiat yang mampu membuka dimensi baru dalam dunia perubatan dan farmakologi. Lagipun, kimia organik ini adalah salah satu cabang yang agak mencabar dan menguji kreativiti dan daya analitikal yang tinggi. Saya juga ingin menerapkan prinsip Green Chemistry, iaitu amalan pensintesisan sebatian kimia yang mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar. Harapannya dengan penemuan sebatian yang baru ini akan dapat menyumbang kepada kajian kimia yang sedia ada, seterusnya memartabatkan lagi industri kimia negara yang sering dimomokkan dengan industri yang menyebabkan malapetaka dan bencana kepada manusia dan alam sekitar.

Idea meningkatkan pendidikan STEM di Malaysia

            Pendidikan STEM yang mencakupi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik adalah suatu integrasi pendidikan yang baru dilaksanakan. Oleh itu, inisiatif yang efektif adalah perlu agar matlamat pendidikan STEM dalam melahirkan masyarakat yang menghargai sains dan memiliki kecelikan dalam analitikal dan pencerapan alam dapat direalisasikan.

            Cadangan yang dapat saya sumbangkan untuk memartabatkan pendidikan STEM ini adalah menerusi pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Bunyinya agak cliché tetapi inilah salah satu usaha yang boleh diimplementasikan secara pragmatis. Tidaklah salah belajar mengira dan menganalisis sistem tubuh badan dan mencerap sifat fizikal produk dengan bahasa Inggeris, namun sekiranya penggunaan bahasa Melayu diterapkan, kefahaman pelajar terhadap konsep sains dan matematik mungkin akan menjadi lebih berkesan.

            Hal ini kerana kita sejak lahir lagi telah dipupuk dengan bahasa ibunda kita. Jadi, mengapa tidak kita usahakan secara bersama agar pembelajaran dilakukan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmuan? Sedangkan masyarakat Jepun sendiri mengekalkan identiti bahasa mereka sehingga mampu menjadi antara negara yang termaju dalam bidang sains dan teknologi, mengapa tidak kita mengorak langkah yang proaktif untuk memajukan tamadun sains kita sendiri? In sha Allah, saya amat yakin perkembangan teknologi negara kita mampu pergi lebih jauh sekiranya jati diri kita dijadikan asas dalam pembentukan sebuah masyarakat yang celik dan berminda saintifik.