Saturday, July 21, 2018

Mushaf Itu




Ada suatu buku, yang sangat dekat dan terletak di bahagian hati saya yang paling istimewa.
Entah kenapa, pada mulanya, membacanya tanpa memaknai, tidak memberikan saya maksud apa-apa.

Lalu saya beli Mushaf Quran berserta terjemahan yang disekalikan bersamanya.

Mushaf Quran itu direka dengan begitu cantik sekali. Berkulit warna werah, ada zip, ada penanda untuk informasi wakaf dan harakat serta doa-doa khusus dan bersaiz sederhana, yang membuatkan ia bersifat mudah alih.

Cantik.

Lalu saya amalkan membaca lembaran demi lembaran.

Saya bawa mushaf itu sampai ke universiti.

Saya kata pada diri saya.

“Aku tahu, bila aku sampai sini, akan ada ujian dan cabaran yang bakal aku hadapi. Tapi aku yakin, seorang muslim itu tidak akan mudah berputus asa dengan kehidupan, kerana ada Al-Quran, yang sentiasa ada di sisi.”

Dan benarlah.
Satu demi satu ujian, menimpa diri ini.

Ujian tekanan dalam pelajaran.
Ujian dari manusia.
Ujian dari nafsu sendiri.
Ujian ketersungkuran iman.

Adakala saya mampu bertahan, namun ada waktu, saya tersungkur.
Apabila ada manusia yang bersifat buruk, atau menyebabkan hati saya tak tenang, saya tidak lawan.
Saya diam dan senyum.

Saya tak mampu untuk melawan.

Lalu saya cuba mencari ketenangan, dengan membuka Al-Quran.

Saya pilih mana-mana surah atau muka surat. Lalu saya mula membaca.
Dan pada saat saya membaca itu, air mata saya tumpah.

Saya peluk Al-Quran kesayangan saya itu. Erat. Kuat.

Kemudian datang suatu kelegaan, yang saya sendiri pun tidak mampu untuk gambarkan dan ungkapkan kepada orang lain.

Saya rasa beban yang terpikul, seolah-olah hilang begitu sahaja.

Bagaimana saya mahu kaitkan Al-Quran dengan kehidupan seorang mahasiswa?

Ada suatu keistimewaan yang Tuhan berikan kepada kita.
Tuhan turunkan Al-Quran, sebagai petunjuk dan panduan manusia untuk menjalani kehidupan seharian. Dalam Al-Quran, ada mesej yang ingin Tuhan sampaikan. Mesej-mesej yang bersifat mengingkatkan mengenai kenikmatan, dan juga yang berbentuk amaran azab Tuhan yang tersangatlah perit.

Kita sedia maklum, Al-Quran itu penyuluh kehidupan, termasuklah rutin seorang mahasiswa. Namun, sejauh mana kita, sebagai seorang mahasiswa, mahasiswa muslim khususnya, benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai suatu mukjizat dan asas dalam mengharungi cabaran di alma mater ini?

Ada beberapa cara sebenarnya untuk praktikkan Al-Quran dalam kehidupan seorang mahasiswa.

1.         Baca Al-Quran, sekurang-kurangnya sehari satu muka surat, termasuk terjemahan. Tak kisah nak baca bila. Boleh mulakan dengan baca selepas solat Subuh, kerana apabila pagi dimulakan dengan membaca Al-Quran, in sha Allah urusan pada hari itu akan dipermudahkan.

2.         Sertai program khatam Quran, yang selalunya diadakan pada musim Ramadhan. Boleh sertai di masjid kampus anda. Konsistenkan diri untuk turut bersama mendengar dan membacakan ayat-ayat Al-Quran dalam halaqah.

3.         Sebelum mengulangkaji pelajaran, baca satu muka surat Al-Quran. Untuk dapatkan ketenangan dan diterangkan hati, agar apa yang dibaca mampu masuk ke dalam hati.

4.         Bawa mushaf Quran yang disertakan dengan terjemahan itu, ke mana-mana. Boleh simpan dalam beg.

5.         Install aplikasi Al-Quran dalam telefon bimbit. Jika terlupa bawa mushaf, boleh terus baca dari situ.

6.         Apabila tidak tahu bacaan ataupun tanda dalam Quran, Whatsapp atau terus ke bilik kawan yang arif dalam bacaan Quran. Selalunya mereka terdiri dari pelajar Al-Quran dan Sunnah. Ataupun siapa-siapa sahaja yang anda kenal, yang anda tahu kehebatannya dalam membaca Al-Quran.

7.        Lazimkan diri untuk mendengarkan alunan ayat Al-Quran. Boleh buka di Youtube ataupun Spotify. Pilih qari kegemaran anda, seperti Sheikh Mishari Al-Afasy.

8.         Apabila ditimpa ujian mahupun dugaan, jangan terus update di Facebook. Cuba kawal diri dulu. Kemudian cuba sentuh dan peluk Al-Quran, erat. Kemudian baca mana-mana muka surat.

Mulakan perlahan-lahan.
Lama-lama, apabila sudah terbiasa, sehari tak baca atau sentuh Al-Quran pun, akan rasa sesuatu yang kurang dalam hati.

Cubalah wahai sahabatku.

Sunday, April 22, 2018

3 Komik Misi Terbaru Sempena PBAKL 2018

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang bakal berlangsung dari 27 April hingga 6 Mei 2018 ini, Tim Misi telah berjaya menghasilkan tiga siri terbaru komik Misi.

Walaupun saya tidak menyumbang kepada idea cerita (saya tulis untuk Misi Kimia), tetapi saya begitu kagum dengan progres yang ditunjukkan oleh karyawan-karyawan Misi tatkala menyiapkan komik-komik ini dari peringkat penjanaan idea, penulisan skrip, penghasilan thumbnail, sketching dan inking, coloring sehinggalah ke peringkat memasukkan dialog dan juga info-info trivia antara bab.

Ada yang lukis komik dalam tempoh 2 - 3 bulan! (Tak boleh bayangkan kelajuan tangan-tangan seni ini menggerakkan pena untuk menghasilkan karikatur dan figura yang paling sempurna.)

Ada yang belajar kursus renang untuk memahami graviti bagi mengambil feel untuk cerita angkasa. Siap dapat sijil pro lagi kau!

Ada yang membahagikan masa assignment dan masih punya ruang untuk berkarya.

Dan banyak lagi kisah-kisah di sebalik tabir sepanjang pembikinan komik-komik ini.

Apapun jangan lupa untuk dapatkan komik-komik dari siri Misi. Komik Misi menggunakan bahasa Melayu penuh, mesra-syariah dan matlamat utama komik ini adalah untuk memberikan inspirasi dan juga mendidik pembaca menerusi cerita-cerita yang disampaikan.

Bagi peminat Zahid, Aizat, Mat, Kimi, Fizi dan lain-lain (tak ingat semua watak) sila dapatkan komik-komik ini!

Komik Misi Angkasa merupakan sambungan daripada Misi Fizik. Kisah Fizi yang bercita-cita menjadi seorang angkasawan. 



Misi 4 Flat X  adalah sekuel daripada Misi 4 Flat yang mengetengahkan isu Islamophobia. Namun untuk kisah 4 Flat X, kita akan diberi pencerahan mengenai asal-usul Mat dan keluarganya yang misterius. Kalau anda baca komik-komik Misi sebelum ini mesti anda akan perasan karakter Mat yang dingin dan penuh misteri. 


Misi 6A: Misi Cikgu Zahid ialah sambungan dari Misi PLKN. Kali ini Zahid menjadi cikgu pengganti di sebuah sekolah. Tema pendidikan dan perguruan menjadi fokus utama dalam komik ini. 



Untuk dapatkan segala info terkini boleh ikuti halaman Skuad Misi dan Afiq & Nazry di Facebook.
Juga boleh ikuti @skuadmisi di laman Instagram.


Saturday, February 17, 2018

Tak Tahu Mahu Tulis Apa

[Sumber: link]


Tahun ini sudah masuk 8 tahun blog ini ditubuhkan. 

Saya rasa sepanjang tempoh 8 tahun ini, saya belum menemukan niche penulisan yang saya inginkan. 

Jika dahulu zaman saya sekolah menengah, saya lebih banyak menulis mengenai novel, mengenai kehidupan di sekolah sehinggalah tawaran untuk sambung belajar ke Matrikulasi. Setelah menjadi pelajar Matrikulasi, banyak pula entri-entri saya mengenai pengalaman di situ, juga tip-tip yang sempat saya coretkan untuk adik-adik, yang bakal melanjutkan pelajaran di kolej matrikulasi. Apabila saya sudah melangkah masuk ke dunia universiti, saya menulis pula tentang pengalaman saya selama tiga tahun belajar dalam bidang kimia. Saya lebih banyak membebel mengenai kimia yang orang tidak faham pun secara teknikalnya, kerana ya, saya suka syok sendiri apabila menulis. Tidak dilupa juga dengan pengalaman-pengalaman kehidupan di universiti, juga saya coretkan di sini.

Namun saya perasan apabila melihat kembali entri-entri di penghujung zaman Sarjana Muda saya, kebanyakan entri yang ditulis adalah bersifat terus dari hati saya. Ermm, memanglah setiap penulisan itu adalah hasil dari hati kita. Tapi yang saya maksudkan di sini adalah, hasil pengalaman pahit ditambah dengan ujian emosi itu, yang mencetuskan idea untuk saya menulis sesuatu yang bersifat luahan rasa.

Apabila saya meneliti semula kehidupan saya, ternyata pada waktu itu adalah ketika usia saya sedang mengalami transisi ke dunia 20-an. Boleh anda bayangkan, seorang manusia yang berjiwa belasan tahun, terpaksa mengharungi kejutan budaya kedewasaan, sehingga adakalanya dia sendiri tidak mampu menangani masalah waima ia bersifat kecil.

Pada waktu itu saya masih ingat lagi, antara perkataan demi perkataan yang sering kedengaran di telinga saya ialah, matang, dewasa, berdikari, emosi. Maka hasilnya apa yang saya tulis, sama ada di blog ini mahupun di MukaBuku, adalah status-status kehidupan, coretan memaknai kematangan, tentang bagaimana emosi itu bisa menjerat diri andai kita tidak bisa menjinakknya, dan sebagainya.

Saya juga pernah menulis status-status yang mengundang kontroversi perhatian netizen, sehingga ada sebahagiannya yang tidak berpuas hati. Sejak kejadian itu, saya semakin takut untuk menulis. Adapun status yang saya terbitkan itu telah menerima respon, kadang saya mengambil langkah untuk memadam sahaja status itu. Seolah-olahnya, saya terlalu bergantung kepada persepsi dan kehendak kepuasan manusia, yang membuatkan saya bertambah berhati-hati untuk menulis apa jua jenis penulisan.

Pernah juga saya menjauhkan diri seketika dari media sosial. Saya menyahaktifkan akaun-akaun tersebut selama hampir sebulan. Sepanjang tempoh saya berkelana daripada terlibat dengan rangkaian sosial, saya berasa jauh lebih tenang, kerana tidak perlu memikirkan pandangan rakan-rakan yang mengikuti atau menjadi rakan saya di laman sosial. 

Namun saya terfikir, sekiranya begitu, sekiranya kita meletakkan manusia sebagai penilai kita, sampai bila-bila pun kita tidak akan mara ke hadapan. Kita akan hanya menulis sesuatu yang membuatkan pembaca berasa sedap hati. Kita jadi takut untuk menulis kebenaran untuk disampaikan kepada manusia. Kita takut andai kata penulisan kita itu menyebabkan orang lain melatah, tersentap, membuatkan mereka mencari-cari kita dan menyalahkan kita, "Status kau buat aku sentap weh. Kau memang tujukan untuk aku ke?"

Dalam dunia yang semakin dihimpit dengan kecelaruan fikiran, jiwa muda saya mendorong saya untuk terus menulis sesuatu yang mampu membuka mata hati mereka yang berada dalam lingkungan saya. Tidak saya katakan bahawa saya adalah lebih baik dari sesiapa. Tetapi dengan sedikit ilmu, bacaan dan pengalaman yang saya peroleh, mengapa tidak saya sebarkan ia demi kemaslahatan kita bersama?

Saya kira, itulah matlamat penulisan kita. Siapa tahu, dengan penulisan yang ingin disampaikan itu, paling tidak atau sedikit sebanyak, dapat mengetuk pintu hati mereka yang meronta-ronta untuk ditarbiah secara tidak langsung?

Senyum.

---

Anak kepada naqib saya, Abang Fahmy, baru disahkan menghidapi H1N1. Mohon doa agar adik Marwan pulih seperti sediakala. Amin. Amin.