Monday, March 20, 2017

Tak Nak Terlalu Mengharap

[Sumber imej: Link]

Saya membesar dengan keyakinan, bahawa apa yang saya inginkan, akan pasti menjadi milik saya.

Saya akan rasa gembira bila apa yang saya nak menjadi kenyataan.
Dan saya akan rasa sakit yang teramat, apabila perkara tidak menjadi seperti yang diinginkan.

Tapi sampai bila saya nak terus-menerus mengharapkan sesuatu yang hanya bertujuan memuaskan kehendak saya?

Kadang diri tak sedar, yang diri ini hanyalah hamba yang tidak punya apa-apa.

Mungkin terlalu mengharapkan pada sesuatu yang sebenarnya hanya bersifat sementara.

Yang bersifat rapuh.

Sehingga diri ini tidak sedar, bila-bila masa sahaja, ranting yang diri ini memaut, bisa patah bila-bila masa.

Dan sakitnya badan apabila menghempap ke bumi, hanya diri sendiri yang rasai hentamannya.

Manusia kadang-kadang terlalu taksubkan perkara yang bersifat duniawi. Terlalu mengejar cita-cita yang hanya bersifat sementara. Sedangkan ada cita-cita lain yang lebih penting lagi, yang boleh memberi kita nilai tambah bukan sahaja di dunia, bahkan di hari sana nanti.

Mengapa perlu saya mencari manusia? Terkadang saya sakit hati. Saya terlalu inginkan kesempurnaan. Sudahnya apabila apa yang saya mahu itu tidak mampu dipenuhi, saya jadi emosi.

Saya kira ini adalah sebahagian dari proses pendewasaan saya.

Untuk saya membiasakan diri dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi dalam dunia perhubungan dengan manusia.

Untuk mematangkan diri ini. Juga agar bisa menjadi manusia yang kental jiwa dan hati nuraninya.

:)


Sunday, March 5, 2017

Resolusi Hati


[Sumber imej: Link]


Saya ada suatu simptom yang pelik.

Saya takut dengan kebahagiaan atau kesenangan, kerana saya seolah-olah tahu, akan ada sesuatu perkara yang saya tidak ingini, akan berlaku.

Normalkah?

Saya rasa orang lain juga mempunyai perasaan yang sama. Setiap daripada kita inginkan kesempurnaan hidup. Kalau boleh, kita mahu setiap inci dari kehidupan kita, diwarnai dengan gelombang-gelombang keceriaan. Ingin jauh dari segala yang boleh membuatkan hati kita rasa terluka. Saya terlalu taksub, sehingga saat Tuhan datangkan ujian, saya jatuh tersungkur.

Rakan-rakan dan pensyarah sangat mengenali saya sebagai seorang mahasiswa yang tidak pernah membuat masalah. Saya selesa dengan comfort zone itu. Mungkin juga apabila selalu mendengar perkataan yang positif daripada mereka, menjadikan ia adalah suatu doa kepada saya. Agar istiqamah dengan aura positif, untuk menyenangkan orang di sekeliling.

Begitulah rutin yang cuba saya amalkan selama beberapa semester di kampus, sehingga pada satu saat, Tuhan cabar keupayaan saya. 

Saya sudah memasang azam untuk memulakan semester keenam ini. Saya mahu mulakan minggu pertama dengan semangat yang berkobar-kobar, di samping terus istiqamah dengan niat yang satu itu. 

Tapi, semester baru saya ini dinodai dengan perkara, yang memberikan kesan kepada saya. Kesan emosi yang begitu mendalam dalam diri saya. Muamalah dengan manusia, yang Tuhan ciptakan karakter mereka yang berbeza-beza.

Saya tewas lagi, tapi tewas yang menimbulkan aura lain dalam diri ini. Sesuatu yang melemahkan hati. Entahlah, sukar untuk diungkapkan. Berkali-kali saya cuba untuk menenangkan hati yang semakin kacau.

"Sabarlah wahai hati."

"Jangan difikirkan lagi perkara yang sudah berlalu. Pasti ada hikmah, yang Tuhan selitkan."

"Jangan sedih lagi, ya?"

Saya bermonolog. Tetapi, ketenangan itu seolah-olah melambai-lambai ke arah saya. Saya cuba mengejar, namun ia senyum dengan penuh kelicikan.

Pada saat saya ingin husnudzon dengan segala yang berlaku, datang pula hasutan-hasutan, yang cuba menukarkan rasa sangka baik saya, kepada sesuatu yang negatif.

Saya cuba untuk tidak mahu bergantung dengan orang lain. Cuba untuk tidak meluahkan dengan mereka, yang saya anggap sahabat. Berkomunikasi dengan ibu dan ayah di corong telefon menjadi pilihan. Namun, saya masih rasa kosong.

Saya perlukan seseorang, untuk bercakap di hadapan saya.

Saya malu sekiranya saya hubungi sahabat saya. 

"Kalau aku tak ada, kau nak cari siapa, Farid?"

Saya pernah berjanji, untuk tidak mencari beliau sekiranya saya ditimpa masalah. Kerana orang pertama yang patut saya kembalikan rasa hati ini, adalah kepada yang Menciptakan rasa hati ini.

Lalu, saya cari teman-teman lain. Saya mesej setiap orang yang berpotensi untuk meminjamkan telinga mereka kepada saya. Saya perlu juga luahkan sesuatu. Dengan harapan, rasa beban dalam hati itu dapat dilepaskan.

Hari-hari seterusnya, perasaan saya kembali normal. 

Saya mula bersangka baik setiap kali saya baru bangun dari tidur. Saya berpositif, bahawa hari ini, adalah hari yang menjanjikan senyuman buat diri saya.

Walaupun saya tahu, pasti ada hal-hal yang tidak menyenangkan akan berlaku. Maksud saya, sampai bila saya mahu harapkan hari demi hari yang dipenuhi dengan kesempurnaan?

Kedewasaan.

Inilah proses yang sedang saya hadapi. Kedewasaan yang saya inginkan dahulu, sebenarnya tidaklah seindah seperti yang disangka. Kedewasaan itu mungkin suatu kebebasan daripada cengkaman dunia remaja, tetapi ada perkara lain lagi yang lebih penting.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

Surah Al-Ankabut, ayat ke-2.

Muamalah dengan manusia adalah salah satu 'tribulasi' yang sedang saya hadapi. Bagaimana saya mampu untuk menjaga akhlak, mengawal emosi dan bertindak secara rasional terhadap manusia-manusia yang saya temui.

Ada manusia yang menyenangkan, ada manusia yang menjengkelkan, ada juga manusia yang membuatkan hati saya sakit yang teramat. 

Terima kasih kepada kedewasaan. Saya tahu saya bukan lagi kanak-kanak yang menanti untuk dibelai apabila dijentik dengan sebuah kepahitan. Kedewasaan menjadikan saya lebih matang dalam menghadapi situasi-situasi yang tidak menyenangkan. Mungkin tidaklah matang secara total, tapi cukuplah membuat saya bersyukur, bahawa Tuhan sedang melatih saya untuk menjadi seorang muslim yang cekal dan sado hatinya.

:)