Bismillah.
[Sumber gambar: image] |
Sekarang lagi musim peperiksaan. Saya ada 8 paper semester ini. Alhamdulillah, tinggal dua paper lagi yang akan saya hadapi, iaitu paper Kesimetrian Molekul (main-main dengan molekul dan tentukan jadual ciri) dan paper Kimia Keadaan Pepejal (sistem kristal, pencerapan maklumat pepejal dari instrumen sinar-X, kaedah tindak balas kimia keadaan pepejal, laser).
Cepat pula masa berlalu kan. Pejam celik, semester depan dah masuk semester terakhir. Rasa macam, tak puas lagi untuk saya menimba pengalaman di bumi UKM ini. Institut pilihan pertama saya dalam UPU dengan bidang pilihan pertama yang saya dapat, iaitu Kimia.
Apa pula perancangan selepas ini?
Ada yang mahu kerja dahulu. Ada yang mahu kahwin. Ada yang mungkin duduk rumah, tunggu dipinang orang. Ada yang akan sambung pengajian ke master dan Ph.D.
Kadang-kadang macam tak percayalah pula yang umur saya ni dah nak masuk 22 tahun. Saya rasa macam, ya Allah, serius ke saya dah setua ini? Bukan apa, sebab bentuk badan fizikal saya masih lagi maintain slim macam ni. Sejak sekolah menengah, dengan ketinggian yang masih sama.
Cuma mungkin wajah semakin kacak dan badan semakin berisi ahaks.
Kadang saya terlupa yang sebenarnya saya sepatutnya bertindak sebagai orang dewasa. Orang dewasa tak macam kanak-kanak, yang merajuk tak tentu hala dan mahu dikendong ke sana ke mari. Hidup orang dewasa adalah hidup untuk berdikari, untuk menghadapi sendiri apa jua situasi yang bakal berlaku.
Jadi hati perlu sentiasa tabah.
Tapi, itulah sebenarnya masalah yang mungkin bukan saya seorang sahaja yang hadapi, bahkan anda di luar sana juga turut berkongsi kisah yang sama.
Entahlah tapi kalau boleh saya nak rewind balik masa untuk kembali kepada zaman remaja. Saya nak ubah balik tingkah laku dan perilaku saya yang entah apa-apa. Yang penuh dengan kelaghaan sehingga terlupa tujuan hidup ini sebenarnya untuk apa.
Atau, kalau boleh saya nak kekal muda sampai bila-bila. Macam Peter Pan. Bertahun-tahun tetap muda. Wendy dah beranak-pinak, dia masih lagi senang-senang bergelak-ketawa sambil terbang ke sana ke mari.
Tapi, itu mustahil.
Jadinya, saya perlu terima hakikat. Dan sedar, bahawa usia saya akan semakin bertambah, dan bertambah.
Saya tahu Tuhan sebenarnya sudah merancang macam-macam untuk saya. Tuhan nak tengok, apa reaksi saya terhadap situasi yang bakal saya lalui. Adakah saya mampu mengawal emosi? Adakah saya masih dengan perangai lama, dijentik sedikit sahaja, terus menangis?
Manusia yang bernama Farid ini memang unik. Itu ayat yang saya cakap dengan kawan-kawan saya, setiap kali saya menghadapi masalah, dan meluahkan masalah saya kepada mereka. Mereka mendengar saya berkeluh-kesah itu dan ini, tetapi apa yang boleh mereka buat untuk mengubah nasib saya?
Tak apa, sebenarnya dengan bersandarkan kepada orang lain untuk mendengar masalah yang dipendam sebenarnya sedikit sebanyak melegakan.
Namun kelegaan itu tidak mampu berpanjangan.
Saya perlu cari sesuatu, yang boleh memberikan rasa ketenangan, tanpa rasa dipaksa.
:)