Sunday, December 25, 2016

Sangkaan yang Baik

Sangkaan yang baik
Mekar dari nurani yang suci
Melihat kekhilafan insan
Sebagai pengajaran 
Bagi mencipta kamus kedewasaan.

Sangkaan yang baik
Bukan dari dusta si makhluk yang direjam
Kerana bisikan hitam
Manifestasi hati yang tidak rela
Menghempap dada
Hingga terbit kehimpitan.

Sangkaan yang baik
Pantulan akhlak mukmin sejati
Menjinak nafsu
Untuk tidak terburu-buru
Dalam mencari erti
Suatu keikhlasan.

25122016
2134
Belajar tindak balas organik.

Saturday, November 26, 2016

Permata Pintar



Bismillah.

Bukan, saya bukan pelajar asasi permata pintar. SPM pun dapat 1 A+ je pun. Mesti dah kena tolak awal-awal kalau saya mohon belajar ke sini. Dan, memang tak pernah dengar pun fasal program permata pintar. Yang saya tahu ialah nak masuk form 6, atau belajar di matrik kalau dapat dapat form 6.

Cuma ada sesuatu yang menarik, yang ingin saya kongsikan.

Sebenarnya, saya sekarang dah masuk final year, atau to be more specific, belajar third year dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia). So, umur pun bukanlah muda-mudi lagi.

Tapi, saya tak tahu kenapa, mungkin sebab fizikal saya yang macam masih kebudak-budakan, yang menyebabkan orang tersalah sangka yang saya ini, masih budak-budak.

"Awak ni, pelajar tahun 1 kan?"

"Saya tak pernah nampak awak di sini. Awak dari permata pintar kan?"

"Umur awak berapa? Nampak macam baru tingkatan 4."

Masih tak faham, kenapa orang tak dapat bezakan saya dengan pelajar first year atau pertama pintar.

Janggut dah ada, tapi tak dapat beri justifikasi yang saya ni dah besar dan dewasa.

Perkara ni asyik bermain-main dalam benak fikiran.

Kadang-kadang saya rasa stress yang teramat. 

Adakah saya perlu lakukan satu perubahan?

Ya, sekarang saya memang makan secara konsisten, sebab nak naikkan berat badan. 

Mungkin juga badan saya bila orang lain nampak, macam kecil sangat. 
Ada yang bahkan kata saya ni babyface. Lol.

Ada jugalah saya buat workout ringan dalam bilik, buat push-up sampai tangan rasa nak putus.

Kononnya nak bina otot supaya badan besar sikit.

Saya memang jenis yang suka makan. Tapi, still, tak besar-besar juga.

Wajah saya? Janggut ada, jambang tiada, Mungkin itu yang belum melayakkan saya sebagai lelaki yang matang. Benarkah?

Stress juga.

Berdamping dengan kawan-kawan, yang rata-rata berbadan besar, yang apabila saya nak bercakap, saya perlu mendongak ke atas sikit.

Sampai bila?

Entahlah.

Mungkin saya perlu lebih banyak bersabar, dan belajar erti syukur.

Allah tak cipta sesuatu dengan sia-sia.

Allah jadikan wajah saya seperti babyface, kerana ada sebab, yang saya sendiri perlu cari, atau tak perlu cari.

Ada beberapa pemuda yang saya kenal tulisannya, seperti Afiq Sazlan dan Asyraf Farique. Walaupun tak ada jambang dan badan tak berapa nak besar, tapi semangat yang ada pada mereka itu tidak mematahkan usaha mereka untuk terus memberikan inspirasi kepada ummah.

Gelaran permata pintar yang selalu diberikan oleh orang kepada saya, mungkin juga satu doa, bahawa ada sesuatu yang perlu saya gilap untuk kepentingan manusiawi.

Jadi itulah.

Pretend like nothing's happen. 

Lagipun, seronok juga ada wajah keanak-anakan atau babyface. 

Sentiasa disayangi, dan sentiasa dilindungi.

Hihi.



Friday, November 25, 2016

Ajari Aku untuk Bersangka Baik



Bismillah.

Bersangka baik itu indah sebenarnya.

Tatkala kita melihat keburukan dan aib rakan kita, kita tak terus menghukum, sebaliknya kita siasat dahulu.

 Atau, paling-paling pun, kita cuba bersangka baik dahulu.

Jangan disebabkan satu kesilapan yang kecil, membuatkan kita terus melupakan segala kebaikan yang pernah dia berikan.

Tapi, mahu menjadi manusia yang bersangka baik, yang husnudzon, adalah payah sebenarnya.

Mungkin hari ini, kita dapat bertahan dengan sikap rakan kita. Esok-esok, belum tahu lagi.

Saya akui, kita manusia, pasti ada had. Selalunya susah untuk mempraktikkan kehidupan yang penuh sangka baik.

Adakalanya, saya sendiri pun tertekan.

Tertekan sebenarnya untuk pretend to be okay, pretend to be positive dan sentiasa bersangka baik.

Tipulah kalau saya tak rasa hipokrit dan sakit hati.

Adakah cara untuk bersangka baik secara konsisten?

Carilah. Google. Dapatkan tip dari manusia yang apabila kamu pandang wajahnya, kamu teringat Tuhan.

Cara yang saya guna dan cuba amalkan, ialah melazimi istighfar.

Kerana sangkaan buruk itu, sebenarnya adalah jentikan dan bisikan dari syaitan.

Syaitan sentiasa membisikkan ke telinga kita, untuk melihat sisi buruk yang ada pada orang lain.

Sangkaan buruk yang membusung di hati, jika tidak dirawat, boleh menyebabkan hati rasa tak tenang. Rasa lain semacam.

Cubalah dulu.

Walaupun memang pahit sebenarnya, untuk mengiyakan apa yang dilakukan oleh rakan baik kita sendiri.

Dan, fikirkan yang baik-baik.

Mungkin dia tak sihat.
Mungkin dia pergi makan di luar dengan member-member lama.
Mungkin dia sedang siapkan assignment yang mana esok adalah dateline.
Mungkin dia tak sempat nak Whatsapp sebab bateri habis.

Fikir yang baik-baik.

Lain daripada yang kita tahu, kita serahkan semuanya kepada Tuhan.



Wednesday, November 23, 2016

Nota untuk Hati



1. Datang awal ke kuliah.

2. Buat semua kerja dengan hati yang tenang, tak perlu rasa tergesa-gesa.

3. Ajar kawan sekiranya faham sesuatu topik.

4. Rapatkan diri dengan semua pensyarah.

5. Niatkan menuntut ilmu kerana Allah semata-mata.

6. Mohon restu dari ayah dan ibu sebelum buat kuiz, assignment dan menjawab soalan peperiksaan.

7. Bersedia untuk memaafkan orang lain.

8. Berusaha untuk sentiasa bersangka baik kepada semua orang.

9. Semua orang tidak sempurna. Jangan tunggu orang yang sempurna serba-serbi baru nak berkawan. Hargai mereka seadanya.

10. Jangan harapkan balasan daripada seseorang apabila melakukan suatu kebaikan.

11. Mendoakan, tanpa pengetahuannya, dan walaupun dia sudah tidak perlukan kita lagi.

12. Berusaha untuk membahagiakan orang lain.

13. Redha Allah yang diutamakan, bukan redha manusia.

14. Jaga mulut.

15. Sentiasa merawat hati, kerana ujub, riak, takabbut, sum'ah dan dengki adalah musuh yang sentiasa menghantui diri, kecuali dengan keimanan yang teguh.

Sunday, September 18, 2016

Musim Final Year Project

Bismillah.

Semester baru, haruslah dengan semangat yang baru, kan.

Sekarang musim pelajar tahun akhir untuk memilih tajuk fyp (final year project). Projek ini seperti kita buat tesis. Jadi, sebelum menghasilkan tesis, penyelidikan dan kajian perlu dibuat, barulah data dan analisis dapat dibuat.
Kalau anda bercita-cita untuk menyambung dalam bidang kimia, ada beberapa tajuk fyp yang menarik untuk dijadikan kajian.

Tajuk-tajuk fyp ini sudah diasingkan mengikut subdisiplin dalam kimia, dan juga specialisation untuk tajuk yang lebih kepada aplikasi.

Pendek kata, berdasarkan tajuk-tajuk fyp yang dikeluarkan oleh pusat pengajian kami, ada tajuk yang berunsurkan teori, dan ada juga yang terus kepada produk.

Di sini saya rumuskan beberapa bidang tajuk fyp dalam kimia berdasarkan kaca mata saya sendiri.

1. Kimia Tak Organik
Tajuk yang dikeluarkan lebih kepada sintesis. Maksudnya, ada tindak balas antara reagen itu dengan reagen ini. Isu yang diutarakan selalunya dalam penggunaan mangkin, penggunaan bahan yang mesra alam (green chemistry) dan kajian kimia tak organik dalam biologi seperti DNA. Bagi yang power dalam teori-teori seperti teori medan hablur dan diagram MO, mungkin bidang ini sesuai dengan anda.

Solvatokromisme dalam kimia tak organik. Sebatian yang sama menghasilkan warna yang berbeza dalam pelarut yang berbeza.

2. Kimia Organik
Sama macam kimia tak organik. Mostly tajuk yang dikeluarkan ialah mengenai sintesis. Of course, segala ilmu dalam makmal dan teori harus disepadukan agar dapat menghasilkan data yang baik. Teknik-teknik seperti kaedah pemisahan memang selalu digunakan dalam sintesis organik untuk pisahkan komponen yang susah untuk dipisahkan. Sintesis organik ini ada juga aplikasinya dalam bidang lain, seperti sebagai anti-malaria dan juga solar.

Salah satu keadah pemisahan dalam sintesis organik iaitu pengekstrakan menggunakan turas pemisahan.

3. Kimia Hasilan Semula Jadi (Kimia Organik)
Yang saya tahu ia tidak melibatkan sangat mengenai tindak balas. Tajuk yang dikeluarkan adalah bertujuan untuk pelajar mengekstrak sesuatu sebatian dari sumber semula jadi. Sebatian hasilan semula jadi ini pula kompleks-kompleks belaka berbanding sebatian organik biasa. Nak ekstrak katanya susah, nak pisahkan apatah lagi, sebab dalam ekstrak itu mungkin tercampur beberapa sebatian yang lain, jadi sebatian semula jadi yang mahu diekstrak itu haruslah tulen setulen-tulennya. Lastly, pengelusidasian (penentuan struktur molekul) perlu dilakukan untuk mengesahkan identiti sebatian itu, menerusi penggunaan instrumen kimia seperti spektroskopi inframerah, spektroskopi ultralembayung-boleh nampak, spektroskopi resonan magnet nuklear dan spektrometer jisim.

Spesis tumbuhan ini dinamakan sebagai Hibiscus Sabrdariffa atau orang Melayu panggil asam belanda. Dikatakan kelopak bunganya mengandungi sebatian fenolik yang dapat menjadi penawar kepada penyakit tekanan darah tinggi.

(Saya minat tajuk dalam bidang ini, hihi.)

4. Oleokimia
Apa yang saya tahu, tajuk-tajuk dalam bidang ini sangat menarik dan unik. Kebanyakannya adalah untuk menghasilkan produk. Oleokimia adalah kajian kimia yang berkaitrapat dengan minyak, lemak dan sebagainya. Antara tajuk yang agak menarik perhatian saya ialah sabun mandi lutsinar, yogurt, aiskrim, dan sebagainya.

Sabun lutsinar. 

5. Kimia Polimer
Selalunya pelajar-pelajar dalam bidang Teknologi Kimia akan pilih bidang ini. Ia lebih kepada penghasilan polimer, kajian mengenai elektrolit dalam elektrokimia, modifikasi polimer dan sebagainya. Tajuk-tajuk dia pun agak gempak sampai saya sendiri tak mampu nak cerna istilah yang digunakan.

Visual mudah untuk menerangkan apa itu pempolimeran, iaitu pengulangan monomer yang sama untuk menghasilkan rantai polimer panjang yang baru.


6. Kimia Analisis

Saya tak tahu sama ada bidang ini agak senang atau tidak. Basically, pelajar akan kumpul sampel dan buat analisis. Macam senang pula, kan? Ada analisis air, analisis mengenai pencemaran udara dan sebagainya. Kata senior, banyak pengiraan statistik perlu dibuat. Saya yang memang jenis tidak suka menghadap banyak nombor mungkin tak berapa sesuai nak masuk dalam bidang ini. Hihi. (Subjek Kimia Analisis Asas dulu pun dapat C+ kah kah kah).

Analisis air adalah salah satu kajian yang penting dalam kimia analisis, kerana kandungan dalam air mungkin mengandungi bahan-bahan logam atau komponen farmaseutikal yang mungkin memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar, dan tidak elok untuk diminum oleh manusia.

Dalam banyak-banyak bidang ini, saya tertarik dengan kajian hasilan semula jadi.

Pensyarah saya sendiri kata ramai yang tak berapa gemarkan tajuk ini.

Tapi pada saya tajuk ini mempunyai keunikan dan kelebihan yang tersendiri. Sebatian-sebatian yang diekstrak dari tumbuh-tumbuhan misalannya sebenarnya mampu memberi potensi yang besar dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, farmasi dan farmakologi.

Cuma dari kita je sama ada nak atau tak nak.

Apa pun pilihan yang dibuat, didoakan agar Tuhan permudahkan urusan rakan-rakan saya untuk menjalankan projek mengikut minat masing-masing. In sha Allah.


Sunday, August 7, 2016

Jatuh Motor 8 Kali

Bismillah.

Gambar hiasan semata-mata.



Tak semua yang mampu tunggang motor.

Saya, antara mereka yang dimaksudkan.

Mungkin sebab saya jarang naik basikal, menyebabkan apabila saya baru nak naik motor buat pertama kali terasa terkial-kial.

Mungkin juga sebab saya selalu terperuk di rumah, jarang bergaul dengan orang, menyebabkan saya kurang terdedah dengan dunia motor.

Yang mencetuskan saya untuk mahu belajar bawa motor, sebab selalu naik motor kawan pergi ke kuliah atau ke mana-mana.

Jadi saya pun kepingin juga untuk belajar bawa motor. Tidaklah selalu mahu dihantar ke sana dan ke mari sentiasa. Fikirkan juga duit minyak motor kawan.

Saya ambil lesen motor. Sebab mahu belajar for the first time. 

Tapi belajar motor di litar tidak diajar secara praktikal. Maksudnya, saya sendiri yang kena belajar bawa motor.

Bayangkan, orang yang tak pernah langsung start enjin motor, tiba-tiba perlu bawa motor?

Sejak dari itulah baru saya belajar sedikit demi sedikit.

Untuk melepasi kesemua cabaran bagi pemula seperti saya memang taklah. 

Titi, awal-awal lagi sudah tergolek ke kanan.
Kon? Dah berapa biji kon saya langgar.
Bonggol? Memang tak pernah lepas sebab badan tak pandai seimbangkan.
Pusingan 8? Fobia saya, takut-takut kalau terlanggar benteng. Tapi memang terlanggar benteng pun.

Saya tak berputus asa. 

Saya adalah pemegang lesen L selama hampir setahun. Sebab saya tahu saya bukan lahir-lahir terus dapat tunggang motor.

Jadi apabila kembali ke kuliah, saya gunakan motor secondhand untuk bergerak ke sana-sini.

Mula-mula memang saya tak berani nak bawa, tapi saya cuba kuatkan juga azam.

Di litar, tak sama dengan di jalanan. Saya sudah dapat mengagak risiko-risiko yang bakal dihadapi.

Saya jatuh motor 8 kali.

Sudah berapa calar yang berbekas di kaki saya.

Saya masih ingat, kemalangan yang paling 'ngeri' saya pernah lalui, apabila motor saya terhumban di tengah jalan, menyebabkan saya tercampak ke hadapan. Bayangkan, tangan saya terseret sepanjang di atas jalan yang bertar.

Waktu tu ada insan yang tolong angkatkan motor. Mungkin sebab waktu itu licin, menyebabkan saya menekan brek kaki secara mengejut.

Entahlah, waktu itu perasaan saya, kosong. Saya kemudian terus menuju ke Masjid UKM.

Waktu itu, azan Maghrib berkumandang.

Air mata saya mengalir, mendengar suara azan di langit.

Mungkin juga waktu itu saya mengenangkan nasib saya di perantauan.

Yalah, sudahlah kena buang kolej, saya terpaksa duduk di luar.
Bukanlah untuk mengekspresikan ketidaksyukuran. Cuma saya yang lemah.
Saya perlu kuat untuk menghadapi detik-detik kesukaran seorang mahasiswa.

Diuji pula dengan ketegangan menghadap manusia yang bermacam-ragam. Saya benar-benar rasa mahu berputus asa.

Fabiayyi Alaa ‘Iraabikumaa Tukadzdibaan.

Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?
(Surah Ar-Rahman)

Dalam susah-susah itu sebenarnya ada banyak lagi nikmat yang saya perlu syukuri.

Saya dikurniakan dengan rakan-rakan yang memahami. Saya jarang balik rumah sewa sebab mahu siapkan assignment menggunakan Wifi. Saya selalu tumpang bilik kawan saya.

Saya pernah tanya dia, 'Kau ok ke aku asyik menyibuk datang bilik kau? Aku takut kau tak berapa selesa. Yalah, aku kau suruh aku tidur atas katil kau, kau pula tidur di atas lantai. '

Tapi dia, dia tak kisah. 
Dia ok.
Saya pujuk lagi sama ada dia betul-betul ok.
Dia hairan.

Dia cakap, 'Farid relakslah, tak ada apanya. Aku dah biasa tidur bawah lantai. Di rumah aku lagilah aku selalu tidur atas lantai. Kau datanglah bilik aku setiap hari. Kami sentiasa mengalu-alukan kau. Tapi, makanan jangan lupa bawa. Hehe!'

Tersenyum saya.
Waktu tu, saya berdoa dalam diam. 

Ya Allah, rahmati kawanku ini.

Dia jugalah yang susah-susah tolong saya baiki motor setiap kali jatuh motor. 

Susah mahu cara orang macam ini.

Walaupun saya tahu ada yang kurang senang dengan sikap saya yang selalu bergantung kepada orang.

Saya cuba untuk ubah sikap itu. Doakan saya.

Kita pendekkan cerita.

Alhamdulillah, saya sudah lulus pra-ujian motor semalam. 

Walaupun ada kesalahan-kesalahan seperti kasut tak betul dan sebagainya, tapi saya bersyukur kerana walaupun saya baru terhegeh-hegeh nak belajar bawa motor, ambil masa dekat nak setahun pegang lesen L, tapi Allah permudahkan dan sentiasa memudahkan urusan hamba-Nya.

Ada yang memang tahu dan pro bawa motor, tapi terpaksa mengulang semula ujian.

Itulah yang dinamakan, rezeki di tangan Allah.

23hb Ogos ini bakal menentukan sama ada saya layak atak tidak untuk memegang lesen P.

Selepas ini, bolehlah saya bawa motor sambil kawan saya bonceng saya pergi ke Putrajaya.

Doakan saya in sha Allah.

Saturday, August 6, 2016

Kerana Masing-masing Punya Kehidupan

Bismillah.

Menginjak usia, pasti kita akan menemui pelbagai ragam manusia.

Setiap insan yang hadir dalam hidup kita, adalah bukan sesuatu yang kebetulan atau sia-sia.
Ada yang kita baru berkenalan, sudah rasai kemesraan.
Ada yang hanya berdasarkan pandangan pertama mencambah benci, tapi lama-kelamaan hubungan menjadi rapat, kerana banyak sisi kebaikannya yang kita kenali.
Ada yang berkenalan sekadar begitu-begitu, tapi pada satu saat kita semakin merasai jalinan kemesraan.

Perancangan Tuhan itu indah dan bermakna. Ada sekuel dalam setiap episod perkenalan kita dengan insan yang bernama manusia.

Tapi ramai yang lupa, manusia itu bukan selamanya ada di sisi kita. Lambat-laun, mereka akan pergi, menjauh dari diri.
Segala janji yang dipateri, tidak semuanya bisa ditunaikan. 
Hanya sekadar di mulut, tapi tidak dalam hati.

Benarkah?

Kompleks sungguh hidup ini.
Dalam setiap syak wasangka yang menghambat diri, harus kita neutralkan dengan perasaan husnudzon dan kasih sayang.

Mungkin, manusia itu personalitinya cepat berubah.
Jika dulu, dia seorang yang periang, yang sentiasa membuatkan hati kita berasa lucu.
Kini, dia seorang yang kuat bekerja, sudah punya fokus cita-cita dan kehidupan.
Sehingga mungkin, kita antara sebahagian jiwa yang perlu disisihkan.

Yang namanya manusia itu memang tidak sempurna.
Bukanlah tugas kita untuk memaut hati kita dengan insan-insan kesayangan.

Tapi, doa itu indah sebenarnya.

Mendoakan, tanpa pengetahuannya.

Semoga Allah kirimkan doa kepada mereka.
Semoga Allah jentik jiwa-jiwa mereka untuk teringat kepada kita.

Biar tidak menerusi alami, tapi saya yakin.

Mereka sentiasa mendoakan kebaikan kita, meskipun mata menjauh di nun sana.

Pengalaman Belajar Bidang Kimia

Bismillah.

Larutan yang dipisahkan dari campuran pewarna menggunakan kaedah kromatografi kolum.


Kadang-kadang saya akan tersenyum sendiri setiap kali mengimbau gelagat rakan-rakan, sanak-saudara mahupun orang awam yang curious mengenai bidang kimia yang sedang saya pelajari ini.
Ada yang kata saya budak pandai sebab belajar kimia. Ada juga yang memperlekeh, kononnya orang yang belajar kimia tidak dapat pergi jauh. Ada juga yang risaukan saya, yalah, sebab saya sering terdedah dengan larutan-larutan berbahaya dalam makmal. Agak takut juga saya, tambah-tambah lagi apabila pensyarah saya pernah menceritakan risiko orang kimia yang agak tinggi. Sampai ada yang mendapat kemandulan, kanser dan paling tragis, meninggal dunia.
Semasa saya berada dalam tahun pertama pun, saya sering dimomokkan bahawa bidang kimia ini susah. Tarafnya sama seperti pelajar-pelajar perubatan. Jadual padat. Subjek sangat banyak. Setiap malam ada kuliah tambahan. Susah dapat keputusan 4.00 dan sebagainya.
Benarkah segala sangkaan dan khabar angin ini?
Mari saya kongsikan realiti yang telah saya hadapi. Mesti ada yang tertanya-tanya, apa yang saya belajar dalam bidang kimia ini?
Klik sini untuk bacaan lanjut: http://www.majalahsains.com/pengalaman-belajar-bidang-kimia/
:)

Saturday, July 2, 2016

Apa yang Anda Perlu Buat Jika Ditendang dari Kolej?

Bismillah.

Tajuk agak sensasi pula. Mungkin perkataan yang lebih sesuai ialah disingkirkan dari kolej, atau dibuang dari kolej, atau tidak-berjaya-mendapatkan-penginapan-di-kolej.

Ada beberapa faktor kenapa mahasiswa dan mahasiswi di universiti dibuang kolej. 

Antara faktor yang popular especially di UKM ialah:

1. Tidak mendapat merit yang mencukupi.
2. Terlibat dengan agenda politik kampus.
3. Menjadi penyokong politik kampus yang menjurus kepada pembangkang.
4. Kolej sedang dinaiktaraf, jadi terpaksa cari kolej lain.

Saya tak nak ulas mengenai faktor-faktor ini, nanti semakin dibincang, semakin dijadikan isu. Jadi untuk menghilangan resah dan beban dan jiwa, saya ingin memberikan sedikit tip yang boleh anda gunapakai setelah dapat tahu bahawa anda tidak layak duduk di kolej.

Okey, mari kita mulakan.

1. Mencetak borang permohonan ke kolej lain

Sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan pengalaman baru menginap di kolej lain pula. Mungkin anda bakal merindui kemudahan dan fasiliti lengkap yang hanya dapat diperolehi dari bekas kolej anda, seperti wifi yang laju atau bilik air yang bersih dan wangi, tapi anda harus terima hakikat, Kita tak boleh nak hidup dalam ruang lingkup yang sama.

Cuba cetak borang permohonan untuk menginap di kolej lain. Boleh dapatkan di http://www/ukm.my/kdo dan klik pada borang permohonan penginapan di kolej. Cetak dan isi butiran yang diperlukan. Untuk lagi afdal, cetaklah sebanyak-banyak mungkin dan hantarkan ke semua kolej yang ada di UKM. Jika mahu lagi umpph, sertakan sekali surat rasmi permohonan anda, disertakan dengan salinan sijil-sijil. Ini mungkin agak leceh dan memakan tenaga dan masa, tapi jika itu semangat yang anda mahukan, kenapa tidak melakukan inisiatif yang lebih?

Selalunya keputusan penempatan di kolej akan dimaklumkan sama ada menerusi emel atau SMS. Jadi, dalam tempoh ini, banyakkanlah berdoa dan buatlah solat sunat hajat in sha Allah.

2. Jumpa dengan pengetua kolej

Sekiranya anda masih mahu tinggal di kolej anda itu, ini adalah antara alternatif yang boleh anda lakukan. Dapatkan nombor pengetua dan buatlah temu janji untuk berjumpa. Jangan panik dan takut. Pengetua kolej juga manusia seperti kita, cuma mungkin pangkatnya yang agak tinggi membuatkan kita rasa terlalu merendah diri.

Saya sendiri mempunyai pengalaman berjumpa dengan pengetua berikutan kegagalan saya untuk menginap di kolej. Cuma kena tahan sikitlah kalau dia tegur-tegur kita contoh fasal isu politik ke apa ke. Kadang-kadang benda yang kita tak buat pun kita dianggap bersekongkol sekali. Kemudian mulalah kita dibrainwash itu dan ini.

Nasihat saya, jangan terus melenting dan melatah. Bersikap sabarlah dan tenang. Jaga akhlak dan imej kita sebagai seorang mahasiswa yang sentiasa positif. Saya yakin dalam pertemuan kita dengan pengetua itu, kita akan dapat mencari jalan solusi, sama ada dibenarkan untuk duduk di kolej, atau tidak. 

3. Dapatkan sokongan dari pensyarah atau organisasi yang melambangkan keaktifan anda

Ini juga boleh dibuat untuk menguatkan lagi kredibiliti anda untuk menginap di kolej. Saya tak pernah lagi buat tip yang ini, tapi cubalah untuk kemaslahatan anda sendiri.

Jumpa dengan pensyarah yang anda rapat. Mungkin pensyarah anda itu tahu mengenai status kecemerlangan anda dalam akademik. Siapa tahu beliau akan buatkan anda surat sokongan untuk membantu anda mendapatkan kolej. 

Jika anda terlibat secara aktif dalam organisasi seperti kebudayaan universiti atau sukan misalannya, why not cuba tonjolkan diri anda apabila akan bersemuka dengan pengetua anda mengenai keaktifan anda. Rakan saya yang aktif dalam nasyid dan muzik senang-senang je dapat kolej, bahkan dapat pilih lagi kolej mana yang nak dia duduk.

4. Berdikari, cari rumah sewa

Rumah sewa adalan jalan terakhir. Dah tiba masanya kita keluar dari kepompong kesenangan. Mana yang tak tahu tunggang motor atau pandu kereta mungkin perlu dapatkan lesen supaya mudah untuk berulang-alik dari rumah ke kampus.

Dan of course, kos tinggal di rumah sewa mungkin lebih tinggi, jadi pengurusan kewangan yang efektif juga adalah perlu supaya tidak keputusan wang.

Kalau boleh dapatkan housemate yang terdiri dari rakan-rakan rapat kita sendiri. Tak salah untuk duduk dengan orang luar, tapi risiko dia mungkin lebih sedikit. Kita tak tahu sangat budi dia macamana kan. 

Tapi kalau rakan-rakan rapat kita semua memang dapat kolej, nampaknya kita sendiri yang perlu belajar mengadaptasikan diri untuk hidup dengan orang luar. Orang luar tu mungkin tak semestinya orang yang berada luar dari kampus, mungkin juga kenalan kita yang hanyalah berbeza fakulti. Mungkin ada perbezaan dari segi pemikiran kita. Contohnya, saya dari Fakulti Sains dan Teknologi, housemate saya pula dari Fakulti Pengajian Islam. Perbezaan pemikiran inilah yang akan melahirkan kesefahaman sekiranya kita bijak dan celik dalam mencari titik pertemuan.

 Yang berbaju hijau, adalah bekas housemate saya. Ahmad Hanzalah namanya, manis orangnya.

Masih ingat lagi program yang kumpulan saya anjurkan di surau rumah sewa saya. Program gotong-royong. Terima kasih sahabat-sahabat yang membantu.

Jangan bersikap rasis.

Cukuplah tip-tip yang saya kongsikan ini. Jika ada soalan, silalah komen di bawah. 

:)

Tuesday, June 28, 2016

Apa Pula Komen Saya Mengenai Subjek-subjek Semester 4?

Bismillah.

Alhamdulillah, peperiksaan final semester baru sahaja berakhir. Bagi yang belum menamatkan lagi sesi peperiksaan, good luck and all the best.

Baik, saya akan ulas secara ringkas mengenai subjek-subjek semester 4 saya sepanjang bergelar mahasiswa dalam bidang Sains Kimia. But first, saya nak beritahu semester 4 ini saya sangat sibuk dengan aktiviti persatuan sehingga adakalanya saya hampir rasa nak putus asa untuk menyeimbangkan dengan akademik. Tapi alhamdulillah, I managed to arrange them based on my priority. 

1. Kimia Polimer II

Ini ialah sambungan dari Kimia Polimer I. Kebanyakan topik adalah mengenai sifat-sifat polimer seperti sifat mekanikal, kekenyalan polimer, dan juga beberapa jenis polimer seperti polimer termoset, polimer hablur, polimer amorfos, polimer koloid dan ada juga disentuh mengenai polimer terbiodegradasi (boleh terurai secara alami). Subjek ini boleh saya katakan agak senang, cuma nota-nota dalam lectures perlu dibaca semula agar dapat faham secara jelas konsep polimer yang diterangkan.

2. Kimia Koordinatan

Mulanya saya fikir subjek inilah yang paling senang. Dimulakan dengan definisi sebatian kompleks, iaitu sebatian yang ada pusat ion logam yang mana mendapat pendermaan elektron secara datif oleh molekul yang dinamakan sebagai ligan. Kami turut diperkenalkan dengan teori medan hablur. Sangat seronok sebenarnya teori ini kerana kita bermain-main dengan geometri sesuatu kompleks, sama ada berbentuk oktahedron, tetrahedron mahupun segi empat sesatah. Tetapi, bila dah masuk teori orbital molekul, saya jadi kaku sikit.  Kemudian bila masuk bahagian kesan herotan Jahn-Teller saya masih boleh faham kerana konsep cukup mudah. Mungkin yang membuatkan saya rasa stress seperti pengisian elektron yang mana kita sebut sebagai simbol sebutan. 



3. Spektroskopi Asas

Ilmu asas ini sepatutnya dipelajari oleh semua pelajar di bawah Pusat Pengajian Kimia dan Sains Makanan, saya rasa. Teori-teori sifat-sifat gelombang dibincangkan dengan begitu menarik sekali oleh pensyarah saya, Dr Siti Fairus. Kemudian kajian mengenai kelakuan molekul apabila dikenakan gelombang seperti mikrogelombang, inframerah, Raman, frekuensi radio dan ultra-lembayung turut diperhalusi. Pengiraannya agak mudah dalam silibus subjek ini. Cuma bila dah masuk bahagian peralihan elektronik, saya agak kaku di situ. Ia sebenarnya sama seperti simbol sebutan dalam subjek Kimia Koordinatan, tetapi untuk yang ini, ada banyak peraturan yang perlu difahami. Kadang-kadang pening juga mana satucara yang betul untuk assign elektron ke dalam orbital. Bahagian LASER saya sangat suka sebab hanya perlu tahu teori, ciri-ciri dan aplikasi.

4. Penentuan Struktur Organik

Saya tak tahu kenapa. Saya ingat saya boleh target yang baik untuk subjek ini. Dimulakan dengan kaedah pemisahan untuk sebatian organik. Kemudian diperkenalkan dengan spektroskopi inframerah untuk pencirian kumpulan-kumpulan berfungsi dalam sesuatu molekul. Ini bagi saya agak mudah. Apabila dah masuk spektroskopi ultra-lembayung pula, tidak banyak informasi yang dapat dicerap. Kebanyakannya hanyalah pengiraan nombor gelombang sesuatu molekul yang mempunyai sistem konjugasi. Tapi Ya Allah, bila dah masuk resonans magnet nuklear, mula-mula saya masih yakin bahawa saya dapat catch-up dengan begitu baik sekali. Sekali dah masuk gandingan spin dan pembelahan spin, saya rasa berada di dunia yang lagi satu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa dan bagaimana untuk mengintepretasi double of doublet, triple of doublet dan sebagainya. Sistem spin seperti ABX, AMX, AA'BB' pun saya agak ketidaktahuan di situ. Spektrometer jisim pula saya main hentam saja dan mengikut logik. Penyusunan semula Mc-Lafferty pun saya seperti biasa, main hentam apabila jawab soalan. Saya harap saya mampu dapat ok untuk subjek ini, kalau tidak mungkin saya kena teruskan projek akhir tahun dengan bidang kimia yang lain selain kimia organik.

5. Kaedah Pemisahan

Subjek ini kadang-kadang membosankan. Saya berkali-kali hampir tersengguk-sengguk dalam kuliah. Sebelum masuk kuliah ini, saya akan pastikan saya beli makanan untuk mengelakkan ngantuk. Mungkin sebab dewan kuliah yang agak besar sehingga menyebabkan saya lebih selesa untuk tidur. Konsep kromatografi lebih banyak fokus kepada jenis-jenis kromatografi. Baca saja nota kuliah confirm dapat skor. Untuk bahagian penyulingan dan penurasan juga agak mudah. Pengiraan pula lebih kepada hukum Raoult, hukum Dalton dan persamaan Clausius-Clapeyron. Untuk bahagian pengekstrakan juga mudah. Cuma mungkin soalan peperiksaan dia agak tricky.

6. Amali Kimia IV

Ini ialah subjek amali terakhir kami. Dimulakan dengan bahagian Kimia Fizik. Sesi makmal agak cepat kerana ia bermain dengan masa. Cuma untuk lab report, kami perlu menulis tangan. Bayangkan graf-graf yang begitu banyak. Kadang-kadang tangan saya melecet sebab terlalu penat menulis lab report. Untuk bahagian Kimia Organik, saya telah buat permintaan kepada pensyarah untuk menulis lab report menggunakan komputer. Jujurnya saya lebih suka amali organik kerana selain dibuat dalam skala yang mikro, saya dapat memahami beberapa konsep yang pernah diajar dalam kuliah seperti kromatografi, penghabluransemula dan lain-lain.



7. Pengurusan Industri Kimia

Subjek ini langsung tidak menyentuh mengenai persamaan Kimia, atau menjangka pelarut dan reagen untuk tindak balas organik. Ia adalah apresiasi mengenai kepentingan pengurusan yang mapan dalam sesuatu industri kimia. Industri kimia sering dikaitkan dengan industri yang membawa malapetaka kepada manusia dan alam sekitar, seperti pengeluaran sisa toksik ke sungai, pelepasan gas berbahaya dan sebagainya. Sedangkan industri inilah yang menjana sumber kepada industri-industri lain bagi memenuhi kelangsungan hidup manusia. Konsep Green Chemistry adalah prinsip yang sedang diusahakan dalam industri kimia agar dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar. Carbon footprint juga adalah topik yang menarik untuk dibincangkan kerana ia dapat memberi kesedaran terhadap globalisasi yang dialami oleh bumi. Life Cycle Analysis pula membawa kita menelusuri bagaimana sesuatu produk direka bentuk dan bagaimana perjalanan akhir hayatnya. ISO 9000 dan ISO 14000 juga adalah topik yang menjadi kegemaran kerana dengan adanya ISO inilah kualiti sesuatu industri dapat dijamin. 

8. Hubungan Etnik

Subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar. Konsep hubungan etnik dibincangkan dengan menarik sekali oleh pensyarah saya, Professor Khairul Anwar. Beliau begitu passion mengenai hubungan etnik dan beliau sendiri meraikan pandangan dari setiap pelajar yang berbilang etnik. Buku modul hubungan etnik pula pada pendapat saya lebih kepada sastera. Ayat-ayatnya perlu dibaca berkali-kali supaya dapat faham konteks sesuatu topik. Penggunaan Open Learning juga sebenarnya memudahkan lagi kefahaman saya mengenai hubungan etnik, sebab saya sukakan grafik dan bahan berbentuk multimedia untuk memahami sesuatu topik.


9. Workplace Communication II

Kursus ini melengkapkan pelajar dengan kemahiran di tempat kerja, seperti penulisan resume, surat cover letter dan amalan di tempat kerja. Oleh sebab ia adalah dalam bahasa Inggeris, maka saya perlu berbicara dalam bahasa Inggeris setiap kali berada dalam kelas ini. Hanya ada 13 orang pelajar, saya seorang sahaja dari bidang sains kimia, selebihnya adalah dari geologi, perakaunan, matematik, sains aktuari dan sains bahan. Mockup interview untuk mencari kerja turut dilakukan dan diberikan markah. Selain itu, kami perlu menemubual majikan sesuatu syarikat untuk melengkapkan tugasan kajian kami. 

Itu sahaja.

Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui tapi atas rahmat Allah, saya berjaya mengharungi kesemuanya dengan tenang.

In sha Allah, semoga untuk semester hadapan, saya dapat lalui subjek-subjek Kimia dengan azam yang lebih padu dan bersemangat.

Buat para pensyarah, selamat menanda jawapan peperiksaan saya dengan tenang.

Salam sayang dari Farid Majid.

Mencipta Kenangan

Bismillah.

Pernah juga ego menyinggahi diri sehingga mahu lari dari semua orang.
Hanya disebabkan perkara-perkara yang remeh-temeh.
Padahal, itulah asam garam kehidupan.

Bergaduh, bukannya selamanya.
Berdiam, bukannya selamanya.
Kerana carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.

Tuhan hadirkan insan-insan ke dalam kehidupan kita,
bukan kerana sia-sia.
Ada hikmah di sebalik pertemuan kita,
jika kita hayati dan menghalusi aturan Tuhan yang Maha Bijaksana ini.

Ukhuwah, adalah sesuatu yang tidak boleh diungkapkan,
tetapi dimanifestasikan menerusi kasih sayang,
mendahulukan orang lain,
bersangka baik dengan orang lain,
meraikan orang lain,
tidak membuka aib orang lain,
dan mendoakan, ketika dia tidak perasan kehadiran kita.

Bukan juga bermaksud kita perlu menunggu seorang rakan yang baik,
kerana kitalah yang perlu menjadi rakan yang baik itu.
Siapa tahu dengan persahabatan yang kita bina,
akan menjadi pengantara untuk dia berubah.

Jangan sombong.
Jangan ego.
Jangan pentingkan diri.

Jangan cepat terasa.

Setiap saat adalah kenangan yang tidak mungkin kita dapat lakar semula.

Semoga kita sentiasa berada dalam redha dan rahmat Allah.

Sunday, June 26, 2016

Persediaan Semester Baru: Mulakan Sekarang.


Bismillah.

Guys, mungkin dah boleh buat folder baru untuk semester hadapan rasanya.

Tulis subjek-subjek yang bakal dipelajari, seperti Kimia Polimer 3, Kimia Alam Sekitar, Kimia Keadaan Pepejal, Kesimetrian Molekul, Kimia Organik 3, Instrumentasi Kimia 1, Kinetik Kimia, Elektrokimia, Latihan Ilmiah 1.

Mungkin dah boleh tengok silibus apa yang bakal diajar. Rujukan buku mana yang boleh dipinjam. Rancang study group.

Kemudian letaklah matlamat. Kalau nak dapat 4 Flat, letaklah setiap subjek target A sama dengan 4.00 darab dengan jumlah jam kredit. Letakkan gred paling maksimum yang boleh dicapai, kemudian lekat depan dinding (Dr. Izzaty 2015). Itulah yang saya buat setiap semester, dan alhamdulillah result pun walaupun tak capai matlamat tapi tetap memberikan kepuasan hati.

Kalau nak dapat markah lebih, cuba buat kerja lebih sedikit berbanding orang lain. Jangan nak main tangkap muat. Sekadar tumpang nama. Datang perjumpaan tak nak dan tak ada alasan yang kukuh.

Even dalam kuiz pun, janganlah meniru. Buat jelah apa yang telah dipelajari dalam kuliah sebelum ni. Kalau tak dapat jawab tu mungkin sebab ponteng kuliah, main Whatsapp ketika pensyarah sedang mengajar, tak hormat pensyarah, tak hormat kawan-kawan yang sedang fokus atau sekadar melenggang ke kuliah.

Last but not least, sentiasa tajdid niat belajar. Ini saya selalu lupa. Bila niat dah lain, tu yang tak dapat fokus dalam kuliah. Mungkin kena ambil wuduk sebelum masuk kuliah, atau buat solat sunat taubat. Ada dosa-dosa kita yang tersisa. Ia menghitamkan hati. Ilmu itu hanya boleh datang jika hati kita terang. 


Farid Majid. 

Sunday, June 19, 2016

Berbuka di atas Motor

Bismillah.

Saja nak tukar selera.
Kadang-kadang bosan juga makan percuma di masjid.
Memanglah boleh jimat duit.

Mungkin sebab amukan jiwa membuatkan saya terdetik untuk pergi ke Bazaar.
Padahal tinggal beberapa minit lagi dah nak berbuka.
Saya pula masih tercari-cari nak beli apa.
Makanan, minuman, memang banyak. Tapi tak tahu nak pilih yang mana satu.

Saya nak makan benda yang simple-simple.
Lalu saya tercari-cari roti john.
Tapi lepas tiga kali pusing satu bazaar, tak juga jumpa-jumpa.

Sampailah saya tersinggah ke satu gerai yang ada tulis jual roti john.
Bila ditanya, roti johnnya sudah habis.

Masa tu dah nak masuk waktu dah. Makanan pun belum beli lagi. Lols.

Akhirnya saya pun belilah murtabak.

Selain murtabak, saya sempat beli air Ribena Peach (ingat nak beli Green Tea tapi tak ada pula, dah habis jual kot) dan juga epal. Saya tak makan sayur, so Mummy saya pesan agar saya makan buah yang suka saya makan bagi mengganti sayur.

Saya bawa 115 km per jam untuk sampai semula ke UKM. Sampai je trafik light yang tengah berwarna merah, azan baru je berkumandang.

Saya pun, makanlah epal yang tak dicuci, di atas motor.
Sempat lagi saya tengok pemandu kereta di sebelah saya yang sedang makan sandwich.

Kolej Ibu Zain,
Mendung,
Petang.

Doakan agar saya mampu menjawab soalan Penentuan Struktur Organik pada hari esok, in sha Allah.

Bimbing Aku ke Jannah

Bismillah.

Manusia itu sifatnya memang begitu. 
Selalu kalah dengan nafsu.
Futur dan cepat terpengaruh dengan persekitaran yang negatif.
Tersungkur di tengah jalan. 
Kadang-kadang, ada yang nak tolong, ada yang buat dek.

Lahiriahnya kita memang nak sesuatu yang baik-baik.
Siapa tak suka kebaikan?

Jika tengok aku buat jahat,
tolong tegur aku.

Tegur aku dengan kebaikan,
dengan hikmah,
dengan kasih sayang.

At the same time aku pun usaha untuk istighfar dan bertaubat.
Membaca Al-Quran akan memberi ketenangan dalam jiwa.
Mendengar engkau membaca ayat-ayat suci itu juga sudah membuatkan hatiku tenang yang teramat.
Walaupun aku tak tahu maksud ayat-ayat tu. 
Tapi aku tahu Allah cuba sampaikan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Sebab Dia Maha Pengasih.
Dia Maha Penyayang.
Dia Maha Penerima Taubat.


Kolej Ibu Zain,
Bilik 114, Blok K18B.
Tengah hari.

Monday, June 13, 2016

First Paper di Bulan Ramadhan

Bismillah.

Lama tak update. Well, mungkin sebab banyak ujian yang Tuhan beri sehingga membuatkan saya tiada mood untuk berkongsi sesuatu.

Ujian dari manusia. Ujian materialistik. Ujian hati. Ujian kehidupan.

Bersangka baik. Mungkin Tuhan rindukan kita. Bila kita senang, Dia jadi yang terakhir. Dengan cara ini Dia ketuk hati kita agar kita tidak lupa, yang kita ni, sentiasa perlukan pemerhati dan pemantau agar urusan hidup kita berjalan lancar, in sha Allah.

Hari ini first paper bertajuk Spektroskopi Asas. Subjek mengenai kajian struktur atom dan hubungkait serapan apabila sesuatu entiti zarah dikenakan beberapa siri gelombang, seperti mikrogelombang, inframerah, frekuensi radio dan ultralembayung. Setiap gelombang akan berikan respon orientasi molekul yang berbeza, seperti tenaga putaran, tenaga getaran, spin nukleus, dan peralihan elektronik.

Saya harap saya dapat skor subjek ini dengan baik in sha Allah. Walaupun preparation tak adalah sebanyak mana. Study last minute, tabiat yang susah diubah.

Ada tiga lagi paper akan menunggu minggu ini. Minggu depan pula ada empat paper.

Doakan saya wahai sahabat-sahabat yang disayang Tuhan, in sha Allah.

Mari mencari redha Allah.

Isnin, 
Mendung
Bilik Azraa,
Kolej Burhanuddin Helmi.